Selaras dengan Dasar Ekonomi Baru, kerajaan secara terancang menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam bidang perdagangan dan perindustrian. Justeru, lahirlah dasar pengimportan kenderaan bermotor secara terkawal melalui pengeluaran AP yang diperuntukkan sepenuhnya kepada syarikat kepunyaan Bumiputera.
Sejarah penubuhan PEKEMA
Daripada 48 syarikat ahli pada tahun 1981 kepada lebih 400 syarikat hari ini — perjalanan pengusaha kenderaan Bumiputera Malaysia.
Syarikat-syarikat ini telah bersepakat menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia atau dikenali dengan singkatan nama PEKEMA. Bermula dengan 48 syarikat ahli, PEKEMA terus berkembang sehingga keahliannya kini mencecah lebih 400 syarikat ahli.
Pelbagai model kereta import dari Jepun dan Eropah seperti Honda, Toyota, Nissan, Mercedes dan BMW mula membanjiri jalan raya di seluruh negara. Ini merupakan petanda yang baik bagi pasaran yang lebih kompetitif dan memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna kenderaan di Malaysia.
Penubuhan Proton pada tahun 1983 dan kemudiannya Perodua pada 1993 membuka lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat Bumiputera menjadi pengedar kereta nasional tersebut. Pengimport-pengimport bebas kenderaan terpakai sedikit demi sedikit mengumpul dana hasil keuntungan dan melaburkannya untuk mengimbangi peningkatan harga belian kereta dari semasa ke semasa.
MITI memperkenalkan pendekatan baru Pentadbiran AP Terbuka. Syarikat-syarikat pengimport diwajibkan menepati syarat dan kriteria yang ditetapkan, antaranya mengemukakan penyata kewangan beraudit terkini sebelum peruntukan AP tahunan dikeluarkan.
MITI juga menghantar pasukan audit ke premis-premis perniagaan syarikat pengimport untuk memastikan syarat dan terma dipatuhi — mempertingkatkan keupayaan kewangan, keupayaan pengurusan syarikat, dan penubuhan bilik pameran yang lebih canggih dan terkini.
Pewartaan harga gazet kereta import terpakai diperkenalkan. Kenderaan import CBU terpakai menggunakan nilai yang diwartakan melalui Perintah Kastam (Nilai-nilai Kenderaan Motor Pasang Siap Yang Diimport) (Terpakai) — memberi sistem pengiraan duti yang lebih sistematik dan telus.
MITI turut menguatkuasakan penggunaan dokumen tambahan iaitu Registration Meter Certificate Preservation Record (RMCPR) bagi kenderaan yang diimport dari Jepun, dan dokumen HPI bagi kenderaan dari United Kingdom. Dokumen tersebut mencatatkan sejarah kenderaan di negara asal untuk tujuan pengurusan yang lebih berkesan di Malaysia.
Setelah lebih 30 tahun menceburkan diri dalam dunia perniagaan automotif, pelbagai rintangan dan cabaran telah dilalui dan tidak kurang juga kejayaan yang dikecapi. Pengalaman ini telah mematangkan para pengusaha Bumiputera dan menjadikan mereka sentiasa bersiap siaga dan kekal bertahan dalam industri yang tidak menentu dan serba mencabar ini.
Dalam persiapan mengharungi keadaan urusniaga yang lebih mencabar dengan ekonomi negara yang lebih terbuka kepada cabaran global, bukan sahaja kecekalan yang diperlukan tetapi juga peningkatan pengetahuan.
“PEKEMA akan terus memperjuangkan hak dan nasib ahlinya agar dapat berganding bahu dengan tonggak pemerintahan bagi merealisasikan matlamat membina keunggulan dan keutuhan pengusaha Bumiputera serta menyerlahkan wibawa anak bangsa dalam dunia keusahawanan.”
Ingin mendaftar sebagai ahli PEKEMA?
Jika anda berminat untuk menjadi sebahagian daripada keluarga PEKEMA, hubungi kami untuk mengetahui dengan lebih lanjut kriteria dan kelebihan yang akan anda nikmati sebagai ahli berdaftar.




